伯谅 LCw

第15届国会下议院第三会期开幕 国家最高元首御词

以下是2024年2月26日,马来西亚联合邦国家最高元首陛下苏丹依布拉欣为第15届国会下议院第三会期主持开幕时发表的御词,全文为国语1234。英文翻译版原御词可在这里阅读。

Below is the speech of His Majesty Sultan Ibrahim, King of Malaysia, on the Opening of the Third Session of Dewan Rakyat of 15th Parliament on 26 February 2024. The whole article is in Malay1234. English translated version of the original speech can be read here.

P/S: 黄标为元首陛下的临场致词。Highlighted text are spontaneously spoken by HM.


Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad, semulia-mulia Rasul, serta keluarga dan para sahabatnya sekalian.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat, saudara saudari yang Saya hormati sekalian.

Alhamdulillah, syukur Saya kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat Saya hadiri ke Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga, Parlimen Kelima Belas pada pagi yang mulia ini.

Istiadat hari ini amat bermakna buat Saya kerana ini merupakan kali pertama Saya datang ke Bangunan Parlimen ini setelah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-XVII pada 31 Januari yang lalu.

Pada kesempatan ini, Saya menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang yang telah menaungi negara dan rakyat jelata selama lima tahun yang lalu dengan adil dan bijaksana.

Insya Allah, dengan limpah kurnia dan izin-Nya, Saya akan memikul amanah yang diberikan dengan jujur dan ikhlas dan meneruskan pemerintahan yang mengutamakan kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat.

Tahniah Saya ucapkan kepada Perdana Menteri dan barisan Anggota Pentadbiran Kerajaan yang telah mentadbir negara dengan sempurna. Pesanan Saya, sentiasa rasai denyut nadi rakyat kerana menjadi kewajipan Kerajaan untuk membela nasib rakyat.

Saudara saudari sekalian,

Saya adalah orang baru di sini dan belum sampai satu bulan memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu, banyak perkara yang Saya kena belajar. Ucapan Saya hari ini lebih halus kalau dibandingkan dengan ucapan Saya di Johor. Saya bagi peluang supaya tidak ada yang tersinggung, tapi akan datang harap berjaga-jaga.

2. Pemerintahan Saya sebagai Yang di-Pertuan Agong adalah sama seperti Agong yang lepas iaitu mengikut Perlembagaan, dasar dan peraturan yang ditetapkan.

3. Kedudukan Saya di sini adalah bagi menjalankan tanggungjawab dan memikul amanah Raja-Raja untuk memastikan kedaulatan tanah air, kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat akan sentiasa terpelihara.

4. Oleh itu, Saya menyeru kepada semua pihak sama ada yang duduk sebelah kanan atau di sebelah kiri, marilah kita bersatu hati, berganding bahu dan bekerjasama untuk membangunkan negara demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

5. Di mata Saya, kejayaan atau kegagalan negara ini bukan terletak di bahu Perdana Menteri sahaja tetapi semua 222 Ahli Dewan Rakyat telah diamanahkan oleh rakyat sebagai wakil mereka dalam Kerajaan.

6. Semua pihak sedia maklum keutamaan Saya adalah keadaan hidup lebih 33 juta rakyat Malaysia di luar sana. Oleh itu, Saya berharap semua Ahli Yang Berhormat akan menumpukan usaha untuk membela nasib hidup mereka bukannya untuk kepentingan parti politik atau diri sendiri.

7. Ingin Saya tegaskan di sini yang Saya tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara. Semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk. Jika ada hendak bermain politik, tunggulah masa pilihan raya yang akan datang.

Saudara saudari sekalian,

8. Suka Saya ingatkan bahawa Parlimen ini adalah tempat para penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan Yang Berhormat semua adalah para penggubalnya. Oleh itu, adalah tidak masuk akal jika penggubal itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat.

9. Oleh yang demikian, Saya harap semua Ahli Dewan akan tunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di Dewan yang mulia ini. Jaga adab dan tatatertib serta gunakan tutur kata yang sopan, bukannya memaki hamun orang lain. Kalau tengok perangai Ahli Dewan sebelum ini, Saya pun berasa malu hendak masuk ke Dewan ini.

Yang di-Pertua kedua-dua Dewan mesti menjalankan tugas dengan tegas untuk memastikan semua Ahli mesyuarat mematuhi peraturan di sepanjang tempoh persidangan. Saya berikan greenlight kepada Speaker untuk ambil tindakan kepada Ahli-ahli yang melampau batas. Boleh kenakan ban 14 hari jika ada yang masih degil. Oleh yang demikian, Saya harap semua Ahli-ahli Dewan akan tunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di Dewan yang mulia ini.

10. Saya perhatikan setelah 60 tahun Malaysia dibentuk, hubungan perpaduan antara kaum masih belum sempurna kerana masih ada generasi hari ini yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum yang lain. Oleh itu, Saya menyeru kepada Kerajaan untuk merangka satu dasar, ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni.

11. Pepatah Melayu ada menyebut, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya” - yang bermaksud jika kita hendak melahirkan generasi masa depan yang bersatu padu dan saling memahami, kita mesti membentuk mereka sejak dari kecil.

12. Saya juga menyeru kepada semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif yang melibatkan raja, kaum dan agama.

14. Perlembagaan telah mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan akan terus kekal terpelihara. Namun begitu, agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman tetapi tidak boleh disebarkan kepada orang Islam. Oleh itu, janganlah ada mana-mana pihak yang cuba menggugat atau mempolitikkan asas Perlembagaan ini - panjang pula.

15. Saya berpuas hati dengan usaha Kerajaan dalam menyelesaikan perkara-perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 dan berharap agar ianya memenuhi hasrat dan aspirasi demi kemakmuran bersama.

Saudara saudari sekalian,

16. Saya berasa kecewa apabila dimaklumkan bahawa Kerajaan hari ini sedang menanggung beban hutang yang semakin besar. Ini disebabkan, sejak tahun 1998, Kerajaan sentiasa berada dalam kedudukan defisit fiskal. Adakah beban ini akan kita tinggalkan untuk ditanggung oleh anak cucu kita nanti? Jawapannya adalah pada semua Ahli-ahli Dewan di sini.

17. Keadaan kewangan Kerajaan yang telah lama lemah, akan menyukarkan Kerajaan untuk melaksanakan projek pembangunan baharu atau memberikan suntikan kewangan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi. Oleh itu Saya menyokong hasrat Kerajaan untuk segera mengambil langkah penjimatan termasuk melaksanakan pemberian subsidi secara bersasaran.

18. Selain dari itu, dasar-dasar baharu yang lebih menyeluruh perlu terus diperkenalkan. Antaranya pengenalan kepada Akta Kewangan dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang merupakan satu langkah pembaharuan bagi meningkat urus tadbir pengurusan kewangan awam supaya lebih telus dan bertanggungjawab.

19. Saya juga akan meneliti perbelanjaan Kerajaan dan memastikan setiap cadangan perbelanjaan adalah untuk perkara yang betul-betul diperlukan. Saya berharap semasa pemerintahan Saya ini, Kerajaan akan berjaya memperoleh lebihan fiskal setiap tahun.

Kerajaan juga mesti bersikap tegas bagi membendung ketirisan dan penyelewengan dana awam. Kelemahan urus tadbir ini, semua peringkat perlu diperiksa termasuk di dalam badan berkanun dan syarikat milik Kerajaan serta anak-anak syarikatnya.

Saudara saudari sekalian,

20. Pada tahun 2023, kedudukan ekonomi Malaysia telah berkembang sebanyak 3.7% dan kekal mampan walaupun prestasi pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global berada di tahap sederhana. Kadar pengangguran negara berada pada tahap 3.3% dan kadar inflasi sebanyak 2.5%.

21. Jumlah pelaburan diluluskan pada tahun 2023 adalah sebanyak RM329.5 bilion, telah mencipta lebih 127,000 peluang pekerjaan dalam tempoh yang sama. Bagi perdagangan antarabangsa pula, eksport negara telah mencatat nilai sebanyak RM1.426 trilion pada tahun 2023, mid.

22. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada tahun 2024 dianggar berada pada tahap antara 4% ke 5% disokong oleh langkah dan pembaharuan yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2024 tempoh hari.

23. Sebagai langkah jangka sederhana, kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasakan Rakyat yang telah dilancarkan adalah komitmen Kerajaan untuk merancak dan menstrukturkan semula aktiviti ekonomi serta pelaburan. Selari dengan hasrat ini, Kerajaan telah merangka Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas dan Belanjawan 2024 untuk mengangkat taraf hidup rakyat ke tahap yang lebih tinggi berlandaskan keadilan sejagat.

24. Saya juga berharap Kerajaan mengambil pendekatan yang proaktif dalam melaksanakan agenda pembaharuan untuk memperkukuhkan daya saing negara sebagai sebuah ekonomi yang mampan sejajar dengan keperluan semasa.

25. Kerajaan juga perlu menyediakan insentif yang menarik dan memudahkan segala urusan melalui tadbir urus yang cekap. Polisi yang dibuat di peringkat Persekutuan juga hendaklah disesuaikan dengan keadaan persekitaran di negeri-negeri kerana setiap negeri mempunyai keadaan yang berbeza-beza, terutama dalam sektor pembangunan hartanah.

Saudara saudari sekalian,

26. Peningkatan taraf sistem pendidikan tinggi dalam negara telah melahirkan ramai graduan yang bermutu tinggi. Namun, peluang pekerjaan yang ditawarkan pada masa ini adalah tidak setaraf dengan kelayakan yang mereka miliki.

27. Oleh yang demikian, Kerajaan perlu berusaha menarik pelaburan bernilai tinggi supaya peluang pekerjaan yang dihasilkan akan memberi pendapatan yang berpatutan.

28. Di kesempatan ini, Saya menyeru semua pihak agar memanfaatkan Tahun Melawat Malaysia 2026. Pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 juga akan membuka peluang ekonomi bagi menjana sumber pendapatan selain mempromosikan budaya dan warisan negara kepada para pelancong yang berkunjung kelak.

30. Oleh sebab kos import yang semakin tinggi, Kerajaan hendaklah meningkatkan usaha dan galakan untuk pengeluaran barangan dalam negara terutama bekalan makanan harian dan bahan mentah.

29. Oleh itu, meningkatkan pengeluaran makanan hendaklah dibuat lebih tersusun agar jaminan makanan negara mencapai sasarannya. Pada masa yang sama, pelbagai program untuk membantu petani, penternak dan nelayan perlu ditingkatkan agar penghasilan dan pendapatan mereka berada di tahap yang tinggi.

Saudara saudari sekalian,

31. Saya menyambut baik kedudukan Malaysia di tangga ke-29 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2023 dalam aspek kecekapan Kerajaan yang mengalu-alukan usaha berterusan bagi meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap kecekapan perkhidmatan agensi Kerajaan.

32. Jentera Kerajaan mestilah meningkatkan kecekapan dan mengamal prinsip kerja berintegriti supaya pembangunan ekonomi dapat dicapai dengan jayanya. Saya tidak suka dengan sistem yang banyak “red tape”. Oleh itu, kecekapan proses kerja, tadbir urus setiap agensi Kerajaan mestilah sentiasa dinilai dan ditingkatkan.

33. Agensi penguat kuasa hendaklah menjalankan siasatan dengan lebih cekap dan cepat supaya sesuatu kes itu dapat diselesaikan dengan segera. Semua kes yang telah dibawa ke mahkamah juga mestilah segera diadili supaya kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman negara sentiasa dipelihara.

Saudara saudari sekalian,

34. Pendirian Malaysia dalam mendukung keamanan dan menentang keganasan harus disuarakan dengan lebih tegas di peringkat antarabangsa. Selain itu ada di peringkat ASEAN mahupun di dunia, Malaysia perlu terus aktif berperanan dalam memupuk semangat perpaduan dan memacu kemajuan, mengambil kira cabaran geopolitik di perkembangan serantau. Malaysia perlu tegas menyuarakan ketegasan pendirian berhubung isu Palestin dengan menggesa supaya gencatan senjata segera dilaksanakan dan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza dipercepatkan.

Saudara saudari sekalian,

35. Saya amat menghargai taat setia yang telah dicurahkan kepada Saya dan negara oleh semua anggota perkhidmatan awam, angkatan tentera, Polis Diraja Malaysia serta seluruh agensi Kerajaan yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi tanpa mengenal penat dan lelah.

36. Terima kasih juga Saya ucapkan kepada semua rakyat jelata yang mengekalkan perpaduan yang harmoni, hidup bersatu padu dan berpegang teguh kepada Rukun Negara.

Saya takut ada juga yang tertidur kalau panjang sangat. Jadi, Saya pendekkan sikit.

37. Akhir kata, marilah kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga negara Malaysia dikurniakan rahmat dan keberkatan, kekal aman, maju dan makmur.

Sekian,
Wabillahi Taufik Wal Hidayah,
Wassamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.


参考文献




🌙