伯谅 LCw

第15届国会下议院第四会期开幕 国家最高元首御词

以下是2025年2月3日,马来西亚联合邦国家最高元首陛下苏丹依布拉欣为第15届国会下议院第四会期主持开幕时发表的御词,全文为国语1234。英文翻译版原御词可在这里阅读。

Below is the speech of His Majesty Sultan Ibrahim, King of Malaysia, on the Opening of the Fourth Session of Dewan Rakyat of 15th Parliament on 3 February 2025. The whole article is in Malay1234. English translated version of the original speech can be read here.

P/S: 本次元首陛下的临场致词过多,不再黄标显示。HM’s spontaneous speech text are too long, and hence, no longer highlighted.


Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad, semulia-mulia Rasul, serta sahabat-sahabatnya sekalian.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat, saudara saudari yang Saya hormati sekalian.

Alhamdulillah, syukur Saya kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat Saya hadir ke Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Kelima Belas pada pagi yang mulia ini.

Kesempatan ini amat besar ertinya buat Saya, kerana Saya dapat berucap secara terus dengan Ahli-ahli Yang Berhormat.

29. Parlimen adalah dewan perhimpunan yang paling utama dalam sistem negara kita. Inilah gelanggang pertemuan suara rakyat jelata, tempat di mana undang-undang digubal dan medan semak dan imbang atau “check and balance” ke atas pentadbiran negara.

30. Parlimen bukan tempat untuk bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah, tetapi ia adalah Dewan yang mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara. Ahli-ahli Yang Berhormat hendaklah menjadi benteng perpaduan negara, dan bukannya ejen perpecahan rakyat.

32. Justeru itu, hentikan tindakan bermain politik atas setiap isu, dan jangan hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri sahaja.

Saya perhatikan dalam persidangan Dewan tahun lepas, Ahli-ahli Dewan telah banyak berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan. Tahniah kepada semua. Namun begitu, ada juga segelintir yang sukar untuk membuang tabiat lama. Tidak perlu Saya senaraikan perangai buruk tersebut kerana Saya percaya setiap Ahli sedar dan tahu bagaimana untuk menjaga tingkah laku masing-masing.

Saya juga menghargai peranan yang telah dimainkan oleh semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik kerana ianya telah menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan sosial negara.

Saudara saudari sekalian,

2. Saya bersyukur melihat perkembangan ekonomi, termasuk prestasi ekonomi domestik dan pelaburan negara yang semakin bertambah baik. Nilai ringgit kembali kukuh, dan kadar pengangguran kekal rendah.

3. Pada tahun lepas, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah mencapai 5.9% dalam pelbagai sektor dan jumlah perdagangan negara telah melepasi angka RM2 trilion untuk tempoh sembilan bulan pertama.

4. Saya mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri dan Kerajaan di atas prestasi ekonomi negara yang membanggakan ini. Saya harap ianya akan terus dipertingkatkan lagi.

5. Namun begitu, Kerajaan hendaklah menentukan agar prestasi yang baik ini membawa nikmat kemakmuran kepada seluruh rakyat, dan bukan hanya memberi keuntungan kepada kumpulan tertentu sahaja.

6. Oleh itu, Saya menyambut baik pendekatan subsidi bersasar yang telah berupaya mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan.

7. Namun, Saya menggesa agar subsidi bersasar tersebut diagihkan dengan cekap dan berkesan kepada kumpulan yang benar-benar layak sahaja.

Saudara saudari sekalian,

8. Saya menyambut baik usaha Kerajaan untuk meningkatkan pelaburan asing berkaitan teknologi tinggi dan digital.

9. Pengukuhan infrastruktur dan ekonomi digital, peningkatan keselamatan siber serta penggunaan teknologi terkini hendaklah dilaksanakan segera.

10. Sistem perkhidmatan Kerajaan juga hendaklah dinaik taraf menggunakan teknologi digital yang lebih cekap dan telus. Ini bagi membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa serta budaya “red tape” yang menyusahkan urusan rakyat.

Namun begitu, suka Saya ingatkan kepada masyarakat supaya sentiasa berhati-hati agar tidak menjadi mangsa jenayah siber seperti penipuan kewangan dalam talian atau scammer dan kecurian. Saya juga merasa bimbang dengan budaya fitnah dan hasutan di dalam talian dan media sosial yang menyebabkan rakyat keliru, bermusuhan dan berpecah belah. Oleh itu, Kerajaan perlu tegas dalam membendung budaya ini dan bersikap proaktif untuk memberikan maklumat yang betul-betul dan dipercayai.

Saudara saudari sekalian,

12. Kempen Melawat Malaysia Tahun 2026 bakal melihat keunikan budaya dan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia. Ianya juga akan membuka peluang ekonomi dan mengukuhkan imej negara di mata dunia.

13. Oleh itu, semua pihak perlu berusaha untuk menjayakan kempen ini, terutama dalam memastikan negara kita bersih dan selamat.

14. Tidak ada pelancong yang hendak datang kalau negara kita kotor dan kadar jenayah yang tinggi.

17. Saya juga menyeru Kerajaan untuk terus membantu pekebun kecil, petani, penternak dan nelayan serta mengambil tindakan proaktif bagi memperkasa sektor pertanian, komoditi, rantaian bekalan makanan.

24. Agenda memperkasa ekonomi Bumiputera melalui kerjasama dan sokongan syarikat Kerajaan mesti terus dilaksanakan.

18. Kerajaan juga perlu terus komited untuk memberikan peluang kepada setiap rakyat untuk memiliki rumah kediaman yang mampu dibeli.

19. Penyediaan infrastruktur asas, kemudahan kesihatan dan pendidikan hendaklah terus ditambah.

20. Langkah Kerajaan melaksanakan agenda reformasi pendidikan, latihan teknikal dan vokasional serta pembangunan belia akan melahirkan generasi masa hadapan yang lebih berkualiti.

21. Saya turut menyokong usaha pengukuhan nilai-nilai keluarga dan kesejahteraan masyarakat.

Saudara saudari sekalian,

23. Malaysia akan terus kukuh atas semangat kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Setiap tindakan dan keputusan mestilah dibincang secara sepakat demi masa depan rakyat dan negara.

25. Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Malaysia perlu menunjukkan keupayaan dalam memimpin dan menentukan hala tuju ASEAN.

26. Malaysia perlu kekal tegas mendukung keamanan, menentang keganasan dan penindasan. Peperangan di Gaza perlu segera ditamatkan dan keadilan undang-undang hendaklah dilaksanakan.

27. Kerajaan juga perlu bijak dalam mengekalkan hubungan diplomatik dengan semua pihak dan meningkatkan kerjasama strategik dalam menangani isu-isu serantau dan sempadan negara.

28. Last. Tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan perlu diambil bagi memastikan hak kedaulatan serta kepentingan negara terus kekal terpelihara walaupun hanya seketul batu karang di tengah laut.

34. Akhir kata, Saya mengucapkan penghargaan atas taat setia yang telah dicurahkan kepada Saya dan negara oleh semua anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta seluruh agensi Kerajaan yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk negara tercinta.

35. Marilah kita sama-sama berdoa agar Malaysia terus maju dan makmur serta seluruh rakyatnya menikmati kehidupan yang sempurna, aman, bahagia dan kesejahteraan.

Sekian,
Wabillahi Taufik Wal Hidayah,
Wassamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.


参考文献




🌙